ANTARA perkara lazim yang dilakukan oleh pakar gigi untuk mengelakkan gigi daripada terus diserang karies ialah membuat tampalan pada gigi tersebut. Tampalan dapat melindungi bahkan menyelamatkan gigi daripada dibuang. Selalunya jangka hayat tampalan ditentukan oleh jenis tampalan dan bahan yang digunakan. Menurut pensyarah Jabatan Periodontologi, Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Masfueh Razali, bahan tampalan ada yang sama warna dengan gigi dan sebaliknya. “Tampalan yang mempunyai warna seakan gigi adalah menggunakan komposit yang kandungan utamanya ialah methyl methacrylate dan silika,” katanya. Bagaimanapun, jelas Masfueh, komposit tersebut hanya sesuai digunakan bagi tampalan gigi hadapan. “Amat jarang ia digunakan bagi tampalan gigi belakang kerana ia tidak begitu kuat untuk menampung daya kunyahan dan otot muka,” ujarnya. Bahan komposit lazim digunakan oleh pakar gigi kerana hasilnya pesakit tidak dapat membezakan antara tampalan dengan gigi yang asli....